Friday, March 6, 2009

PESANAN BUAT TEMAN YANG TERTINDAS



Teman! Selama di sana merajalelanya kezaliman,

pasti perjuangan pembebasan akan tertegakkan
oleh para insan ikhlas yang empunya keinsanan
yang mencapai pecerahan lewat hidayat Tuhan
merealisasi ayat-ayat kebenaran
pada sarwa, pada sukma, pada Sabda dan Firman…
Bukanlah pembelaan oleh manusia berhati keras melampaui batu-batan,
berwatak haiwan, berminda syaitan,

yang meratai kerosakan dengan fikiran dan perbuatan,

mendaulatkan kesesatan dengan lisan dan tulisan.

Teman! Selama di sana berlangsung pelemahan dan pembodohan,

pasti ada insan-insan merdeka yang tercerahkan…
dengan pena, tenaga, harta benda, mahupun sukma diserahkan,
dengan segala daya menahan arus penindasan dan pembengongan
oleh para penguasa despotik dan kapitalis tiran,
agar generasi masa depan dapat terus bernafas nyaman
tenteram penuh ketenangan…

di tanah air berkah dinaungi Tuhan al-Rahman,
agar firman Tuhan dapat dibumikan…. agar citra al-Rahim dapat diabadikan,
di dalam sanubari insan yang merdeka dan tercerahkan.

Teman! Insan-insan tertindas adalah para kekasih Tuhan.
Justeru, janganlah alpa dari Tuhan, dari Qur'an dan sabda Junjungan.

Kerana padahnya, kehidupan yang sempit sengsara, "ma'ishatan dhankan".

Segala perintah-Nya kita tegakkan, segala larangan-Nya kita tinggalkan.
Yakinlah pada janji Tuhan sepanjang zaman:
Pasti kebenaran takkan dipersiakan, pasti kebatilan takkan dibiarkan.
“Dan adalah kewajiban bagi Kami menolong orang-orang beriman (Qs. Al-Rum: 47).”

Mohd Nasir Mohd Tap,
Dar al-Hikmah, Kajang.
09 Rabi' al-Awwal 1430.