Thursday, February 5, 2009

BERSABARLAH NIZAR, ALLAH BERSAMA ANDA!



Kita tidak pasti bagaimanakah akhirnya kemelut di Perak? Sepintas lalu kita melihat Nizar dan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak sedang berada di pihak yang kalah, manakala Najib dan BN berada di pihak yang menang. Tapi, ukuran kebenaran dan kebatilan tidak tertakluk kepada menang atau kalah, kerana pada hakikatnya, 'kebenaran akan tetap menang dan kebatilan akan tetap kalah.' Jangan kita menyangka bahawa kemenangan barisan kebatilan sebagai petanda rahmat dari Allah. Kalau kita memikirkan begitu, nescaya kita silap pertimbangan. Kadang-kadang, sengaja Allah menzahirkan kemenangan kepada barisan kebatilan pada satu-satu ketika dengan tujuan penangguhan masa agar mereka akan terus leka dan akhirnya ditimpakan dengan kekalahan yang teruk. Contohnya, seperti yang berlaku kepada Nabi s.a.w. dan para Sahabat r.a. pada Perjanjian Hudaibiyyah. Kemenangan kecil musyrikin Makkah pada hakikatnya merupakan lebuhraya menuju kekalahan besar mereka di dalam peristiwa Fathu Makkah. Sebaliknya, bagi kaum Muslimin kerugian kecil yang mereka rasai adalah modal bagi memperolehi keuntungan yang besar. Namun, sekali lagi perlu diingat, 'tiada erti kalah bagi kaum Muslimin selagi mereka beriman'.

Dalam konteks Perak, kemenangan BN yang diperolehi dengan penuh tipu daya itu hanyalah jalan-jalan kekalahan yang sedang mereka rintis sendiri. Apakah Najib memikirkan bahawa rakyat Perak suka dengan kecabulan politiknya? Saya yakin, apa sahaja tindakan Najib dan BN di Perak, mulai dari hari ini hanya akan menambahkan benci dan rasa meluat rakyat Perak khususnya dan Malaysia umumnya, sekaligus memperkuatkan lagi momentum perubahan yang sedang berlangsung. Rakyat yang punya akal budi dan nurani yang bersih tentu dapat membezakan di antara corak kepemimpinan dua kerajaan, PR dan BN. Komitednya Nizar dan barisan pentadbirannya untuk melaksanakan dasar tulus dan telus, menyebabkan beliau tidak teragak-agak untuk 'tidak melindungi' dua exconya iaitu Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaludin Mohd Radzi (Behrang) dari tuduhan rasuah. Sebaliknya, Najib dan BN dengan gembiranya merangkul dan menjulang dua tertuduh tersebut sebagai wira rakyat Perak!

Apakah Najib dan BN menyangka rakyat akan berasa gembira dan selesa dengan tindakan mereka? Apakah mereka menyangka bahawa rakyat masih mahu diperbodohkan seperti masa-masa lalu? Apakah mereka menyangka rakyat akan tinggal diam begitu sahaja, lebih-lebih lagi dalam konteks sistem pilihanraya lima tahun sekali ini? Ataupun, Najib menyangka bahawa kebatilan yang didokongnya akan mengalahkan kebenaran serta kelicikan politik tipu dayanya mengatasi kemahabijaksanaan 'politik' Tuhan? Jangan sekali-kali menyangka bahawa Allah akan berpihak kepada kebatilan dan kezaliman, tetapi ingatlah bahawa para pejuang kebenaran tidak akan dibiarkan oleh-Nya.

Bagi saya, kita patut bersyukur kerana Allah s.w.t. dengan segala kemahabijaksanaan-Nya telah mencabutkan 'duri' yang selama ini menyakitkan kerajaan PR Perak (dua exco rasuah), cuma ianya buat sementara ini agak menyakitkan. Tetapi, ini tidak lama. Duri-duri ini telahpun di ambil oleh BN dan dicucukkan pada badan mereka. Insya Allah, ia akan bertukar menjadi bisa yang akan melumpuhkan mereka selamanya dengan izin Allah.

Kepada Nizar dan pimpinan PAS Perak dan Nasional khususnya, serta PR umumnya, bersabarlah. Lebih utama dari itu, bermuhasabahlah. Boleh jadi ada di sana-sini kata-kata atau sikap kita yang 'bertentangan' dengan semangat kehambaan kepada Allah semasa kita meraikan kemenangan atau memegang kekuasaan, lalu Allah mendatangkan peringatannya supaya kita ingat. Yang jelasnya 'kayu ukur' bagi nilai lulus seorang pejuang Islam dan kebenaran di hadapan Allah adalah sangat tinggi, justeru peliharalah hal-hal tersebut terutama kewajipan-kewajipan yang menjadi hak-hak Allah dan hak-hak rakyat.

Sematkanlah benar-benar pesanan dan peringatan Allah yang bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman! Apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung. Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dan dengan maksud riya' kepada manusia serta menghalangi (orang) dari jalan Allah. Dan (ilmu) Allah meliputi apa yang mereka kerjakan. Dan ketika syaitan menjadikan mereka memandang baik pekerjaan mereka dan mengatakan: "Tidak ada seorang manusiapun yang dapat menang terhadapmu pada hari ini, dan sesungguhnya saya ini adalah pelindungmu." Maka tatkala kedua pasukan itu telah dapat saling lihat melihat (berhadapan), syaitan itu balik ke belakang seraya berkata: "Sesungguhnya saya berlepas diri daripada kamu, sesungguhnya saya dapat melihat apa yang kamu sekalian tidak dapat melihat; sesungguhnya saya takut kepada Allah." Dan Allah sangat keras siksa-Nya. (Ingatlah), ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya berkata: "Mereka itu (orang-orang mukmin) ditipu oleh agamanya." (Allah berfirman): "Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." Kalau kamu melihat ketika para malaikat mencabut jiwa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka (dan berkata): "Rasakanlah olehmu siksa neraka yang membakar", (tentulah kamu akan merasa ngeri) (QS. Al-Anfal: 45-50).

Bagi Nizar serta para pejuang kebenaran dan keadilan, perkuatkan jentera untuk menghadapi PRU 13. Semoga Allah mendatangkan sebaik-baik bantuannya kepada anda, memberikan kekuatan serta meninggikan kedudukan anda di sisinya. Allah bersama-sama anda selama anda bersama-sama-Nya, dan dia akan meninggalkan anda jika anda meninggalkan-Nya. Allahu ma'aka ya Nizar ma dumta ma'ahu!


2 comments:

Anonymous said...

slm..abih tu,Allah swt ada bersama nizar je?...tak mungkin Allah swt tidak bersama BN,kalau begitu masakan ALLAH SWT mengurniakan Dr zambry peluang untuk menjadi MB...itu tandanya Allah swt sentiasa bersama BN,kerana PR korup, maka Allah swt telah menjatuhkan pimpinan yg korup!..kalau tidak korup masakan boleh beri kurnia pegangan tanah 999 thn kepada kroni-kroni di Perak!..itu akan menimbulkan krisis dimasa dpn..maka yg akan dizalimi ialah org islam sebab nizar tidak pernah sekalipun memberi dan meluluskan tanah untuk Melayu-Islam di perak walau sejengkal pun...adakah ini kepimpinan yg bagus?....mungkin inilah hikmah Allah swt memberikan peluang kepada BN untuk berkuasa semula!...

Anonymous said...

kroni apo niii...Hikmat Allah guanonyo..masuk kok pintu belakang...bukan pilihan rakyat..bukan anok jantan BN, tok berani bertarung digelanggang...guno rasuah jah untuk menang...cissss