Memperingati Kesyahidan Saidina Husain r.a.: Di Antara Sikap Melampau dan Ketidakpedulian
Apabila membaca tajuk di atas, mungkin bagi sesetengah pihak dengan tanpa berfikir panjang dan keinsafan akan melabelkannya sebagai 'Syiah' atau 'Rafidhah'. Tentu sekali kegopohan menghukum perlu sekali dielakkan kerana sesuai dengan maksud hadith: "Ketelitian adalah dari Allah sedangkan kegopohan adalah dari syaitan." Bagi kami tuduhan manusia bukanlah persoalan yang penting kerana yang jauh lebih penting adalah "berkata benar walaupun pahit di dengar." Apapun tuduhan orang lain, kami hanya mampu mengulangi apa yang diucapkan oleh Imam al-Shafi'i: "Kalaulah kerana mencintai Ahlu 'l-Bayt menyebabkan orang memanggil aku Rafidhi, maka saksikanlah bahawa aku seorang Rafidhi..." Semoga kecintaan ini menjadi sebab bagi syafaat Rasulullah s.a.w. ke atas kami yang berdosa ini di Akhirat. Kami malu untuk bertemu Rasulullah s.a.w. nanti dengan sekelumit kebencian dan curiga kepada keluarga Baginda dan Sahabat r.a..
Kami menulis post ini semata-mata penzahiran cinta kami kepada Saidina Husain r.a. yang merupakan 'belahan jiwa' Nabi s.a.w.. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan di dalam Sunan al-Tirmidzi dari Ya'la bin Murrah menegaskan bahawa kecintaan kepada Husain a.s. akan mendapat cinta dari Allah s.w.t.: "Husain daripadaku dan aku pula daripada Husain, Allah mencintai sesiapa yang mencintai Husain, ...." Di dalam hadith yang diriwayatkan dari Barra' bin Azib:"Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. mendokong Husain cucundanya yang masih kecil dan meletakkan di atas pangkuannya seraya berdoa yang bermaksud: "Ya Allah sesungguhnya aku mengasihinya oleh itu kasihilah dia." Justeru, sesiapa yang memusuhinya telah memusuhi Allah s.w.t. seperti maksud hadith yang dinyatakan di bawah: "Dan sesiapa yang memusuhi kedua-duanya [Hasan r.a. dan Husain r.a.] maka ia telah memusuhi Allah,dan barang siapa memusuhi Allah maka ia akan dicampakkan kedalam api neraka mukanya akan terlempar dahulu."
Bagi sesetengah penulis terutamanya dari aliran Ahlu 'l-Haqq Ahli Sunnah Wa 'l-Jama'ah (ASWJ), perbincangan tentang kesyahidan Husain dan peristiwa hitam Karbala' seboleh-bolehnya cuba dielakkan kerana bimbang dilabelkan sebagai Syiah atau Rafidhah, walaupun sebenarnya sikap seperti ini adalah tidak wajar kerana ia akan menyumbang kepada penyembunyian fakta. Apabila fakta sejarah disembunyikan, maka ia akan memberi ruang kepada manusia berjiwa kotor untuk 'memalsukan fakta'. Perkara seperti ini lazim berlaku di dalam dunia keintelektualan. Namun, ingatlah bahawa kita ada dua pilihan, samaada manusia membelakangi kita kerana berkata benar ataupun Allah dan Rasul-Nya kelak yang akan membelakangi kita kerana membelakangi kebenaran.
Realitinya, kesedaran umat Islam ASWJ berkaitan dengan peristiwa Karbala' dan kesyahidan Husain, bersama 72 orang pasukannya pada tahun 61 H (680 M), adalah sangat rendah. Bahkan, rata-rata umat Islam di Nusantara lebih mengingati 'bubur Asyura' berbanding kesyahidan 'belahan jiwa' Rasulullah s.a.w. Peristiwa Karbala' bukanlah suatu imaginasi ataupun cerita dongeng heroik, tetapi ia benar-benar satu fakta sejarah yang mencorakkan keadaan umat Islam yang datang sesudahnya. Sejarah Karbala' bukan hanya dicatat oleh sejarawan Syiah, tetapi ia juga dicatatkan oleh para sejarawan ASWJ.
Ia adalah simbol pertentangan abadi di antara al-haqq dengan al-taghut. Ia adalah lambang penentangan golongan mustad'afin terhadap kezaliman golongan mustakbirin. Watak-watak seperti Yazid, Ubaydullah bin Ziyad, Umar bin Sa'ad dan Syamr bin Dzi l-Jausyan akan terus bermunculan selama belum Kiamat. Justeru, adalah sewajarnya semangat perjuangan Saidina Husain, yang merupakan lanjutan perjuangan Rasulullah s.a.w dan para Sahabat r.a. disuburkan dijiwa umat Islam kini bagi menghadapi para penindas yang akan terus bermunculan. Perjuangan Saidina Husain bukanlah hak Syiah, tetapi ia adalah hak seluruh umat Islam. Kesedihan terhadap kekejaman ke atas Saidina Husain r.a., Ahlu 'l-Bayt dan pengikutnya bukan semata-mata milik Syi'ah, tetapi ia milik seluruh umat beriman yang bersyahadah La ilaha illa 'Llah Muhammadun Rasulullah.
Tentu sekali bagi kita ASWJ, mengingati kesyahidan Husain tidak perlu ke tahap melampaui batas-batas fitrah sebagaimana yang dapat di lihat di kalangan pengikut Syiah Imamiyyah di seluruh dunia. Bahkan, bagi sebahagian ulama' Syiah sendiri, sebagaimana yang dicatitkan oleh Dr. Musa al-Musawi di dalam al-Shi'ah wa 't-Tashih: Al-Sira' bayna al-Shi'ah wa al-Tashayyu', perbuatan memukul-mukul badan serta mencederakannya dengan besi-besi tajam adalah suatu bid'ah. Bagi kita ASWJ, mengingati kesyahidan Husain r.a. adalah merupakan manifestasi cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan Ahlu 'l-Bayt-nya. Tentu sekali tidak terbayang di fikiran kita, ada sebahagian umat Islam, yang mengucapkan selawat kepada Nabi s.a.w. dan kaum keluarganya, tega membunuh cucu kesayangan dan keluarga Rasulullah s.a.w. Apakah agaknya jawapan kita di hadapan Rasulullah s.a.w. saat kita mengharapkan syafaat Baginda sedangkan kita memusuhi keluarga Baginda?
Apa yang perlu dihayati dari kesyahidan Saidina Husain r.a. ialah sikap tadhiyyah (pengorbanan) zuhud, wara', taqwa dan istiqamahnya Saidina Husain r.a. bersama para pengikutnya berhadapan dengan orang-orang zalim yang sewenang-wenangnya merosakkan hukum al-Qur'an dan Sunnah Nabi s.a.w.. Di antara isi surat Saidina Husain r.a. kepada saudaranya Muhammad al-Hanafiyyah: ".... Aku keluar [mengangkat senjata menentang Yazid] bukan kerana berasa iri hati dan tidak kerana marah dan bukan kerana mahu melakukan kerosakan atau bukan juga kerana mahu melakukan kezaliman. Tetapi aku keluar untuk menentang [Yazid] hanya semata-mata untuk membawa islah kepada ummah datukku Rasulullah s.a.w.. Aku mahu menegakkan yang ma'aruf dan nahi mungkar dan memimpin ummah [ke jalan kebenaran] sebagaimana yang telah dilakukan oleh ayahku [Saidina Ali k.w.] dan datukku [Muhammad s.a.w.]."
Inilah matlamat sebenar keberangkatan Saidina Husain ke Kufah. Seseorang syahid tidak perlu disucikan, dikafani dan tak perlu mendapatkan hisab di hari kiamat. Kerana itulah, maka pada malam sebelum kesyahidannya, Imam Husain r.a. dengan hati-hati membersihkan diri, bercukur, dan mengenakan pakaian terbaik di tengah ancaman kematian. Pendek kata, mati syahid dalam budaya kita merupakan taraf, mutu, pangkat dan berbeza dengan mazhab-mazhab lain yang menganggapnya sebagai suatu peristiwa, suatu keterlibatan, suatu kematian yang dialami seorang pahlawan, suatu tragedi.
Kesyahidan bukan merupakan suatu gelaran tetapi merupakan tujuan, keaslian, kesempurnaan dan merupakan jalan tengah menuju puncak kemanusiaan tertinggi dan merupakan suatu kebudayaan. Kesyahidan merupakan pengorbanan jiwa insan demi ketinggian nilai-nilai keinsanan. Demi sebuah kebenaran, nyawa jadi taruhan, demi sebuah ketinggian kemanusiaan dan keadilan, leher rela dipenggalkan sebagaimana yang tergambar dari ucapan Saidina Husain r.a.: “Kalaulah agama Muhammad s.a.w. tidak tegak kecuali dengan terbunuhnya aku, wahai pedang-pedang penggallah aku.” Katanya lagi: "Hanya dengan kematianku dan darahku, kebenaran Islam dan Sunnah datukku Muhammad Rasulullah s.a.w. dapat dipertahankan...”
Bagi para Nasibi (iaitu golongan yang membenci keluarga Rasulullah s.a.w.), pemergian Saidina Husain ke Kufah adalah sekadar 'episod kotor' sejarah Islam. Dia hanya mengotori nama Rasulullah dan kaum keluarganya dengan mengheret keluarganya ke tengah kancah pertikaian di antara Bani Umayyah dan Bani Hasyim. Sebaliknya pula, kaum Rafidhi (yang mecintai keluarga Nabi s.a.w. tetapi membenci para Sahabat r.a.), mereka menyikapi kesyahidan Saidina Husain secara melampau samaada dari segi fikrah mahupun tindakan. Dalam menyikapi cinta terhadap Ahlu 'l-Bayt r.a. dan Sahabat r.a., Imam al-Ghazali di dalam Raudhat al-Talibin ada menyebutkan bahawa golongan yang mencintai Sahabat r.a tetapi membenci Ahlu 'l-Bayt Nabi s.a.w. mereka adalah Nasibi, manakala mereka yang mencintai Ahlu 'l-Bayt Nabi s.a.w. tetapi membenci para Sahabat r.a. adalah Rafidhi, sedangkan mereka yang menghimpunkan kecintaan kepada para Sahabat r.a. dan Ahlu 'l-Bayt Nabi s.a.w., merekalah sebenar-benarnya Sufi Sunni yang mendapat petunjuk Ilahi (sufiyyun sunniyyun rasyid). Kerana itulah, sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hujwiri di dalam karyanya Kashfu al-Mahjub, para sufi semuanya bersepakat bahawa Saidina Husain adalah ahlu 'l-haqq dan kesyahidannya adalah di atas jalan yang benar.
Kecintaan kita kepada Sahabat r.a. dan Ahlu 'l-Bayt r.a. berdasarkan kepada firman-firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kemu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan ta’atilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilanghkan dosa dari kamu, wahai Ahlu 'l-Bayt dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya (QS. Al-Ahzab: 33).”
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Orang-orang terdahulu lagi yang pertama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar (QS. At-Taubah : 100).”
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Orang-orang terdahulu lagi yang pertama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar (QS. At-Taubah : 100).”
Inilah sebenarnya ruh wasatiyyah Islam yang diistimewakan oleh Allah kepada ASWJ. Semoga kita dapat bersama-sama Rasulullah, Ahlu 'l-Bayt dan para Sahabat r.a. meneguk cinta Ilahi di Telaga al-Kawthar. Amin...
No comments:
Post a Comment