Monday, December 29, 2008

HIKMAH TERSIRAT DOA AWAL TAHUN HIJRAH


Mohd Nasir Mohd Tap
AKK-KDH

Saban tahun apabila memasuki tahun baru Hijrah, umat Islam akan berbondong-bondong ke masjid dan surau bagi membacakan doa akhir dan awal tahun. Sesetengahnya membaca hanya sebagai rutin tahunan. Sesetengah yang lain mengejar pahala yang dijanjikan. Sesetengahnya datang penuh dengan keazaman dan cita-cita. Tak kurang juga yang membacanya kerana katanya, "Dulu saya lihat ayah dan datuk saya membacanya..." Walau apapun sebab dan dorongan, kita memohonkan perkenan Allah. Apapun debat di sekitar keharusan dan kebid'ahan amalan tersebut, bukanlah tumpuan posting ini. Apa yang ingin kami soroti adalah hikmah yang tersirat di sebalik doa awal tahun yang kita bacakan. Ada empat perkara yang kita ungkapkan di dalam doa awal tahun iaitu:
1. Memohon limpah kurnia Allah, rahmat dan inayah-Nya.
2. Perlindungan dari Iblis.
3. Perlindungan dari balatentera dan konco-konco syaitan.
4. Perlindungan dari nafsu ammarah yang sentiasa mengajak kepada kejahatan.
Hijrah merupakan suatu peristiwa yang sarat makna simbolik. ia merupakan pemisahan total di antara Islam dan kekufuran. Hijrah bukan semata-mata membabitkan aspek zahir akan tetapi turut merangkumi aspek batin. Inilah yang dapat kita fahami dari hadith yang sangat masyhur yang diriwayatkan oleh Umar al-Khattab r.a. dengan mafhumnya: "Sesungguhnya setiap amalan adalah dengan niat, dan setiap individu itu menurut apa yang ia niatkan. Barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan Rasul-Nya, namun barangsiapa berhijrah kepada dunia yang ingin dibolotinya, atau kepada wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu menurut kepada apa yang diniatkan." Justeru untuk memperolehi ganjaran dari hijrah yang zahir, maka perlu dilakukan transformasi rohani dari berbagai niat keduniaan kepada semata-mata kerana kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya. Kerana itulah, apabila kita merenung dengan mendalam makna doa awal tahun yang kita bacakan beberapa perkara yang dapat kita fahami:
Kita memulakan doa kita dengan bermohon kepada 'Allah yang Maha Kekal Abadi, yang Azali dan tidak berawal' sebagai manifestasi pergantungan kita kepada Tuhan yang Maha Sempurna Zat, Sifat dan Perbuatan-Nya, Maha Sempurna Ilmu dan Kebijaksanaan-Nya, Maha Sempurna Iradat dan Qudrat-Nya. Kita menggantungkan pengharapan kita kepada Allah yang Maha Sempurna agar segala cita-cita dan azam kita untuk tahun ini dapat terlaksana dengan mengharapkan perkenan dan limpah kurnia-Nya yang tidak bertepi. Di dalam kita mengejar cita-cita, kita sering meletakkan sepenuh pergantungan kepada diri kita semata-mata. Dengan slogan "Aku Boleh" kita sepenuhnya yakin dengan kudrat kita yang serba terbatas. Kita kononnya dapat 'menongkat gunung'. Kita hanya akan kembali mengharap kepada Allah setelah segala upaya kita terkandas di pertengahan jalan. Maknanya, kita sering menomborduakan Allah s.w.t. atau mungkin menombor tiga, empat, lima ....... untuk mencapai apa yang kita hajatkan.
Ini bukanlah suatu perspektif yang pesimistik, tetapi optimistik dalam ertikata optimis dengan Allah dan janji-janji-Nya yang tak pernah mungkir. Bukan tidak berusaha, tetapi menyandarkan usaha kepada sandaran yang Maha Kukuh. Ia mungkin pesimistik bagi orang jiwanya 'terpenjara' di dalam dunia material, yang akalnya hanya terbatas sekadar pada apa yang tampak, terjerat di dalam dunia sebab-musabab, sehingga membutakan pandangannya dari Allah Musabbib al-asbab. Namun, bagi Mu'min yang punya 'mata hati' apa yang mereka saksikan adalah Tuhan yang "Maha Suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaaan atas segala sesuatu dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan (Qs. Yasin: 83)" Kadang-kadang sengaja Allah menjadikan usaha manusia itu gagal kerana Dia ingin menampilkan hakikat "Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepada-Nya kita dikembalikan". "KITA" bukan semata-mata merujuk nyawa kita, tetapi adalah seluruh komponen zahir dan batin yang membentuk diri kita yang dipanggil "AKU". Seringkali "AKU" itu tenggelam di dalam keakuannya sehingga lupa bahawa "keakuan" itu hanyalah bayangan dari "Ke-AKU-an" yang Maha Mutlak. Nah! Apabila "keakuan" kita tak berdaya menghadapi kudrat alam, barulah kita kembali bergantung kepada "Ke-AKU-an" Maha Mutlak tempat bermula dan kembalinya seluruh AKU di alam ini.
Mungkin inilah yang ingin Allah tunjukkan kepada kita melalui paparan sirah ketika perang Hunayn di saat tentera Islam ta'jub pada jumlah dan menyangka bahawa kemenangan dapat dicapai dengan enteng. Lalu apakah yang dikatakan oleh Allah? Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mu'minin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunayn, yaitu di waktu kamu menjadi congkak karena banyaknya jumlah (mu), maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari kebelakang dengan bercerai-berai (Qs. Al-Ahzab: 25). Justeru, pengajarannya, untuk melakukan suatu perubahan atau anjakan samaada pada diri dan pada masyarakat perlukan kepada tempat sandaran yang kuat, tidak lain adalah Allah s.w.t. Pergantungan kepada-Nya tiada had masa dan tempat, kerana Dia adalah Tuhan kita dan kita adalah hamba-Nya pada setiap masa dan setiap tempat. Namun malangnya, dalam tindakan kita, kita jarang sekali bertindak sebagai hamba-Nya pada setiap masa dan tempat.
Untuk mencapai cita-cita murni, seringkali kita menempuh halangan. Kerana itulah di dalam doa awal tahun kita memohon kepada Allah dari tiga perkara iaitu Iblis, tenteranya dan nafsu ammarah. Permusuhan Iblis adalah sedia maklum. Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.” (Q.s. Al-A‘raf: 16-17). Seringkali Iblis bertindak melalui balatenteranya yang terdiri dari kalangan syaitan-syaitan jin dan manusia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya.... (Qs. Al-An'am: 112). Siapa pula 'manusia syaitan'? Merekalah 'manusia diabolis' sebagaimana yang diterangkan oleh Allah s.w.t melalui firman-Nya yang bermaksud: "Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang berdosa; dan cukuplah Tuhanmu (Wahai Muhammad) menjadi pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi Penolong (bagimu terhadap mereka) (Q.s. Al-Furqan: 31).
Musuh utama kita yang lain adalah nafsu ammarah kita. Inilah sebenarnya musuh pertama yang Allah jadikan di alam ini sebelum munculnya Iblis. Sebelum Azazil menjadi Iblis, ia berada pada kedudukan yang sangat tinggi. Namun kerana mentaati nafsu ammarahnya, ia ingkar kepada suruhan Allah lantas jatuhlah ia pada kedudukan yang sangat hina. Kita dapat mencapai berbagai cita-cita dengan izin Allah, tetapi ingatlah bahawa penghalang utama kita dari kejayaan dunia dan akhirat adalah nafsu kita sendiri. Kerana nafsu si kaya menjadi fakir, si bijak menjadi dungu. Kerana nafsu bahagi menjadi celaka, syukur manjadi kufur dan ni'mat menjadi niqmah. Firman-Nya yang bermaksud:
“(Siksaan) yang demikian itu adalah karena sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada suatu kaum, hingga kaum itu mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri, dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui (Qs. Al-Anfal: 53).”
Kerana mentaati ammarahlah, maka manusia melakukan dosa dan lantaran tidak bertaubat kepada Allah, dosanya menjadi karat-karat hati yang membentuk selaput keras yang disebut oleh al-Qur'an sebagai 'al-rayn' yang menghalangnya daripada kebenaran. Dosa itu sendiri berpunca dari kelalaian atau ghaflah dari Allah, hukum dan peringatannya. Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah mengungkapkan sebagaimana yang dipetik oleh Shaykh Abd al-Qadir Isa di dalam kitabnya Haqa'iq 'ani al-Tasawwuf:

Barangsiapa yang kebanyakan masanya lalai (ghaflah) dari Allah, maka karat akan tertempa pada hatinya, dan karat tersebut mengikut kadar kelalaiannya. Kalau sekiranya hati berkarat maka gambaran-gambaran maklumat tidak akan terakam padanya bertepatan dengan realitinya yang sebenar, maka ia akan melihat kebatilan sebagai benar dan kebenaran sebagai kebatilan…. Apabila karat terakam pada hati, maka ia menjadi hitam lalu terdinding, lantas rosaklah perspektifnya (tasawwur) dan pengetahuannya (idrak), maka ia tidak menerima kebenaran dan tidak menolak kebatilan. Ini merupakan sebesar-besar hukuman bagi hati (a‘zami ‘uqubat al-qalbi). Puncanya adalah kerana kelalaian dan mengikut hawa nafsu, maka kedua-duanya memadamkan cahaya hati dan membutakan pandangannya. Allah s.w.t. berfirman (yang bermaksud): … dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami lalaikan hatinya daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami [di dalam al-Qur’an], serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran (Qs. Al-Kahfi: 28).

Akibat dosa jadilah Iblis dan balatenteranya angkuh. Secara psikologis, mereka ditimpa berbagai penyakit hati yang memalingkan jiwa mereka dari al-haqq sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayat-Ku (yang menunjukkan kekuasaan-Ku); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya (Qs. Al-A‘raf: 146).

Justeru tahun HIJRAH yang baru ini, marilah sama-sama kita berhijrah kepada keredhaan Allah melalui jalan yang diredhai Allah serta menjauhi dari terjebak ke jalan-jalan syaitan dan taghut. Ini digambarkan di dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan dari ‘Abdullah bin Mas‘ud yang diriwayatkan oleh al-Hakim dan an-Nasa'i, katanya:

Rasulullah s.a.w. telah menggariskan dengan tangannya satu garisan kemudian Baginda bersabda: “Inilah dia jalan Allah yang lurus.” Baginda menggariskan lagi di sebelah kanan dan kirinya seraya bersabda: “Jalan-jalan ini tiada satu pun daripadanya melainkan ada syaitan yang mengajak ke arahnya.” Kemudian Rasulullah membacakan firman Allah s.w.t. (yang bermaksud): Bahawa sesungguhnya, inilah jalan-Ku (Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutinya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah… (Q.s. Al-An‘am: 153).

Rasulullah bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh at-Tabrani yang bermaksud:

... Sebaik-baik orang yang berhijrah ialah orang yang berhijrah dari perkara yang ditegah oleh Allah dan sebaik-baik jihad adalah orang yang berjihad melawan nafsunya kerana Allah.

Firman Allah s.a.wt. yang bermaksud:

Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (Qs. An-Nisa': 100).

Sadaqa 'Llahu wa Rasuluh.






No comments: