Saturday, December 20, 2008

APABILA KAPITALIS BERMAHARAJALELA
Mohd Nasir Mohd Tap
AKK-KDH

Ura-ura penswastaan Institut Jantung Negara (IJN) benar-benar menggemparkan masyarakat. Sektor kesihatan nampaknya benar-benar menjadi bidang yang menguntungkan para kapitalis. Walau bagaimanapun, rakyat kebanyakan buat sementara waktu dapat menarik nafas lega kerana Kerajaan mengisytiharkan bahawa rancangan Sime Darby Bhd. untuk mengambil alih 51% saham ekuiti dalam IJN ditangguhkan (bukan membatalkan) sehingga kajian mendalam dilakukan oleh kementerian-kementerian berkaitan. Nampaknya, hidup dan mati di alam sebab-musabab ini (jika ditimbang dengan logik akal) berkait rapat dengan duit. Bagi orang miskin yang tak berduit tentu mereka akan mengatakan “Matilah aku!” Bagi orang kaya yang berduit, tentu mereka akan kata: “Pokailah aku!” Akan bertambah lagilah orang yang sakit jantung, "sesak nafas aku." Apapun, tiada siapa yang senang dengan penswastaan kesihatan (termasuklah projek penswataan yang lain). Di dalam al-Qur’an, kapitalis diwakili oleh tokoh-tokoh besarnya seperti Qarun dan para pengeksploit dan kapitalis umat Nabi Shu‘ayb a.s.. Mereka tergolong di dalam kelompok besar al-mustakbirun (orang-orang yang menyombongkan diri). Merujuk kepada al-Qur’an, penswastaan adalah bentuk lain bagi program istid‘af atau ‘pelemahan masyarakat’. Dengan berlakunya penswastaan, maka jurang di antara orang-orang kaya dengan orang-orang miskin dan du'afa' semakin luas. Justeru, slogan “yang kaya bertambah kaya, yang miskin bertambah miskin” ada benarnya. Semua ini adalah manifestasi kezaliman yang sangat dikecam oleh Allah. Bagi rakyat, bersabarlah. Ingatlah bahawa para du'afa' adalah golongan yang dikasihi Allah.

Pandanglah segala peristiwa yang berlaku dengan kacamata tauhid dan keinsafan. Bagi yang punya mata hati, mereka melihatnya dalam konteks inna lillahi wa inna ilayhi raji'un (segala-galanya datang dari Allah dan kembali kepada-Nya) dan La haula wa la quwwata illa bi 'Llah (tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah). Tanpa mengabaikan sebab-musabab, orang-orang Mu'min tetap memandang kepada Allah, Musabbib al-Asbab dan penuh rendah hati bergantung harap pada-Nya. Sirah menjadi panduan. Pertolongan Allah ke atas du'afa' Muslimin pada perang Badar adalah kerana kerendahan hati dan pergantungan penuh kepada Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah. Karena itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri-Nya (Qs. Ali Imran: 123)."
Justeru, pandanglah kepada Jalal (Kemahaagungan/kemahaperkasaan) Allah dan jangan berputus asa dari Jamal-Nya (Kemahaindahan/Kemahasempurnaan Allah). Jangan berpaling dari Allah kerana Allah akan berpaling dari kita. Apabila orang-orang Mu'min rasa cukup dengan diri dan kekuatan mereka, maka Allah akan tinggalkan mereka dengan tenaga dan keupayaan mereka sebagaimana yang pernah diperingatkan oleh Allah kepada tentera Mu'minin dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para Mu'minin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, yaitu diwaktu kamu menjadi congkak karena banyaknya jumlah (mu), maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari kebelakang dengan bercerai-berai (Qs. Al-Tawbah: 25)."

Sunnatu 'Llah tak akan berubah. Ini bukan sikap pesimistik. Orang Mu'min akan terus berusaha keras kerana ia adalah perintah Allah, tetapi tidak akan bergantung kepada usahanya, kerana pergantungan yang sebenar adalah kepada Allah. Takdir Allah samasekali tidak menghalang kita berusaha dan berjihad. Usaha adalah sebagaimana yang diungkapkan oleh Saidina Umar al-Khattab r.a. "berpindah dari satu takdir kepada takdir yang lain." Inilah juga yang disebutkan oleh Shaykh Abd al-Qadir al-Jilani sebagai "melawan takdir dengan takdir yang lain," seperti takdir dosa dihadapi dengan takdir bertaubat, takdir kemiskinan dihadapi dengan takdir bekerja. Kerana seorang wali itu, menurut Abd al-Qadir al-Jilani ialah orang yang orang yang menghadapi takdirnya dan bukan yang pasrah tidak berbuat apa-apa. Redha dengan takdir tidak samasekali bermaksud 'tidak bertindak', kerana redha adalah natijah memandang kepada kesempurnaan Jalal dan Jamal-Nya, dalam masa yang sama mengambil segala sebab yang mungkin. Kerana itu ulama' mengungkapkan hubungan sebab-musabbab-Musabbib al-asbab (Allah) dengan kata mereka: "Barangsiapa yang mengambil sebab tetapi tidak bergantung kepada Allah, Musabbib al-musabbab adalah bodoh, dan sesiapa yang hanya bergantung kepada Musabbib al-asbab tanpa mengambil sebab juga adalah dungu." Kerana itu Allah tidak menerima alasan orang-orang musyrikin yang berdalih dengan takdir di atas kesyirikan mereka. Firman Allah yang bermaksud:
Orang-orang yang mempersekutukan Tuhan, akan mengatakan: "Jika Allah menghendaki, niscaya kami dan bapak-bapak kami tidak mempersekutukan-Nya dan tidak (pula) kami mengharamkan barang sesuatu apapun." Demikian pulalah orang-orang sebelum mereka telah mendustakan (para rasul) sampai mereka merasakan siksaan Kami. Katakanlah: "Adakah kamu mempunyai sesuatu pengetahuan sehingga dapat kamu mengemukakannya kepada Kami?" Kamu tidak mengikuti kecuali persangkaan belaka, dan kamu tidak lain hanyalah berdusta (Qs. Al-An'am: 148).
Mengenai Jalal dan Jamal Allah, kami teringat suatu peristiwa ketika bermusafir ke Terengganu bersama-sama Shaykh Dr. Jahid Sidek sekitar 2002. Pada masa itu Amerika menyerang Iraq. Beliau bertanya kepada kami: "Bagaimanakah awak melihat perang di Iraq dari sudut pandang tauhid?" Tiada jawapan yang dapat kami berikan. Kemudian beliau pun menjelaskan, "Bagi orang-orang awam, mereka melihat aspek zahir kekacauan perang itu, jadi mereka takut dengan perang tersebut. Tetapi bagi orang-orang khawass (iaitu Muhsinin), mereka melihat ayat-ayat Jalal (Kemahaagungan) Allah, lalu mereka takut kepada Allah..." Begitulah sekira-kiranya mafhum perbualan kami. Ingatlah bahawa semua yang berlaku, samaada baik atau buruk, adalah baik bagi orang-orang yang beriman; “Apabila mereka dikurniai ni‘mat, mereka bersyukur dan apabila musibah menimpa mereka, maka mereka bersabar” (mafhum Hadith). Inilah masanya untuk kita bermuhasabah dan bertaubat kerana setiap perkara yang berlaku, ada kaitannya dengan tindak-tanduk kita.

Sengaja Allah membalik-balikkan keadaan kita di antara Jalal dan Jamal-Nya, di antara genggaman (al-qabdh) dan kelapangan (al-basthu) supaya kita dapat mengenal-Nya. Ada di antara kita yang tidak dapat mencapai kehampiran kepada-Nya melainkan dengan ditimpakan kesusahan, dan begitu juga ada yang dapat mencapai kehampiran melalui kesenangan. Tujuan putaran al-qabdhu dan al-basthu supaya akhirnya kita hanya memandang Allah semata-mata dan menyaksikan bahawa al-Jalal dan al-Jamal adalah serupa, iaitu aspek-aspek bagi Allah yang esa.

Kami teringat bagaimana Imam Rabbani Ahmad al-Sirhindi mempersepsi hukuman penjara yang dijatuhkan ke atasnya oleh Maharaja Jahangir. Sebagaimana yang disebutkan di dalam surat kepada Shaykh Badi‘ al-Din (dalam Al-Maktubat Jilid III, surat no. 6), beliau berkata:

“Sejak fakir ini (al-Sirhindi) tiba di penjara, dia mengetahui dengan hati kecilnya akan penghinaan orang yang tertumpu kepadanya, bagaikan awan-awan yang berseri-seri dari desa-desa dan bandar-bandar, yang telah membantunya untuk mencapai kecemerlangan kerohanian. Sejak bertahun-tahun kamu telah melalui peringkat-peringkat kerohanian melalui tarbiyyah jamaliyyah (didikan dengan keindahan Ilahi), maka sudah sayugianya sekarang kamu merentasi jarak perjalanan kerohanian ini dengan tarbiyyah jalaliyyah (didikan melalui keagungan Ilahi), dan hendaklah kamu berada pada maqam kesabaran, bahkan pada maqam keredhaan dan kamu melihat bahawa al-Jamal (kemahaindahan) dan al-Jalal (kemahaperkasaan) Allah itu (pada hakikatnya) adalah serupa…”

Bagaimana mahu mencapai keadaan diri seperti ini? Latihlah diri kita dengan tauhid dengan sentiasa meneggelamkan diri di dalam zikru'llah dan bertaubat, mintalah tolong kepada Allah melalui sabar dan solat. Lebih berkesan lagi ssebagaimana yang dipesankan oleh Sa'id Hawwa di dalam syarah Hikam-nya, Mudhakkirat fi Manazil al-Siddiqin wa al-Rabbbaniyyin, "Carilah mursyid yang kamil (sempurna)." Sebagaimana para Sahabat mencapai ketinggian tauhid dan iman natijah bersahabat dengan Rasulullah s.a.w., maka kita juga dapat mencapainya melalui persahabatan dan bimbingan ulama' warathatu 'l-anbiya' (pewaris Nabi) yang mewarisi ilmu, amal dan hal kerohanian Rasulullah s.a.w. Al-Nadwi di dalam karyanya, Rabbaniyyah la Rahbaniyyah mengungkapkan: "Adapun kaum Muslimin berhajat kepada para pendakwah dan peribadi yang teguh yang menghimpunkan di dalam dirinya keupayaan tilawah akan ayat-ayat-Nya, pengajaran al-Kitab dan al-hikmah, serta penyucian jiwa. Begitulah kenabian digantikan di dalam umatnya setelah tamat era nubuwwah. Melalui mereka umat ini memperbaharui hubungan dengan Allah dan Rasul-Nya, memperbaharui perjanjian (al-mithaq) umat Islam seluruhnya dengan Allah dan Rasul-Nya dengan jalan keimanan dan pengucapan Shahadatayn... "

Ibn Atha'i 'Llah berpesan:

Janganlah bersahabat dengan orang yang hal rohaniahnya tidak dapat meningkatkan hal rohaniah kamu, serta kata-katanya tidak membimbing kamu kepada Allah s.w.t.

Bahkan beliau turut menegaskan bahawa teman yang baik adalah teman yang tidak mentaati hawa nafsunya walaupun ia seorang jahil di mata orang ramai:

Berkawan dengan si jahil yang tidak redha dengan hawa nafsunya adalah lebih baik daripada berkawan dengan orang yang berpengetahuan tetapi redha dengan hawa nafsunya. Ilmu apakah bagi si alim yang redha dengan nafsunya dan kejahilan apakah bagi si jahil yang tidak meredhai nafsunya?

Ini telah pun ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan dari Ibn ‘Abbas r.a. dia bertanya kepada Rasulullah:

“Siapakah orang yang paling baik dijadikan teman?” Lalu Rasulullah berkata: “Yang paling baik ialah orang yang mengingatkan kamu kepada Allah apabila memandang ke wajah mereka, dan menambahkan ilmu kamu apabila mendengar kata-kata mereka, dan mengingatkan kamu kepada akhirat apabila melihat amalan mereka (HR Abu Ya‘la dan para rijal-nya adalah sahih).”

Sehubungan dengan itu, Ibn ‘Atha’i 'Llah telah menggariskan enam sifat yang perlu dimiliki oleh seseorang murabbi:

1. Kata-katanya memimpin manusia kepada Allah s.w.t..
2. Hal dirinya memotivasi orang lain untuk dekat kepada Allah s.w.t..
3. Dia seorang yang zahid (tidak cintakan dunia).
4. Baik amalnya (husnu al-a‘mal).
5. Baik hal rohaniahnya (husnu al-ahwal).
6. Dia telah benar-benar tahqiq dengan berbagai maqam perjalanan rohaniah.

Di sinilah kepentingan para rabbaniyyin di dalam memimpin umat agar mereka dapat menyikapi krisis dengan sikap seorang Mu'min yang melihat sesuatu dari kacamata tauhid. Maka, renung-renungkanlah.








No comments: